View complete fotopage
|
|
| Sunday, 25-Nov-2007 07:32 |
Email | Share | Bookmark |
|
ISBIHA dalam kenangan
|
|
1.bersama ISBIHA ketika Seminar Jati Diri JOHOR 2. YAYI(istilah atuk dalam JAWA) bersama cucunya afnan dan sorfina 3. Ayah mendeklamasi sajak dari puisi yang dari buku penulisannya mengenai Dato' Onn.
kadang-kadang Ayah melawak kini aku sudah mendapat gelaran 'DATUK' yang mustahil akan di tarik balik. Aku hanya mampu tersenyum.
4. ISBIHA di pejabat 5. Antara lukisan ISBIHA yang masih ada. Selebihnya hangus terbakar ketika masih berkhidmat di Pusat Perkembangan Kurikulum 6. Lukisan-lukisan ISBIHA
7. berjabat tangan dengan bakal pemimpin Johor. Melatih kepimpinan setiap lapisan masyarakat di Johor adalah salah satu tugas ISBIHA 8. Menyiapkan kerja-kerja terakhir sebelum SUNATHON 2007 9. Bertukar cenderamata bersama IMAM-RSC dan YWJ disaksikan oleh ADO
10,11,12 ISBIHA mempengerusikan mesyuarat SUNATHON 2007
13 Ketika ISBIHA menerima semula penyerahan anak angkat daripada Doktor Pakar Keluarga Dr Jaidon Romli ketika SUNATHON 2007
14 Mengiringi ADO ketika selesai sudah majlis penyerahan anak angkat
15 Majlis Penyerahan Anak Angkat bersama ADO Mersing
ISBIHA ketika Anugerah Sastera Darul Ta'zim 2007. ISBIHA turut menerima anugerah tersebut ketika Anugerah Sastera Darul Ta'zim yang ke-3
Orang kata mana tumpahnya kuah kalau tak ke nasi. Logo IKLAS yang di lukis dan di reka sendiri oleh Bang Lang yang kini digunapakai sebagai lambang IKLAS dan gambar taman landskap yang separa siap hasil dari design dan landskap oleh Bang Wan sendiri menunjukkan mereka benar-benar mewarisi bakat ISBIHA dalam lukisan. Aku juga berharap agar aku dapat mempunyai bakat seperti mereka.
Kronologi Soalnya Hati
ISBIHA ( http://isbiha.blogspot.com )
Ismail Adnan ( Jan 11,1945 – Nov 23, 2007)
HATI MAHU PULANG
Entah kenapa seminggu dua ni rasa kurang enak sangat. Selalu mimpi pelik-pelik. Aku sendiri tak pasti apa yang aku mimpikan. Kata orang jangan diceritakan mimpi kepada orang lain. Kata orang lagi mimpi hanya mainan tidur. Sejak seminggu dua ini jugalah jadual waktuku dah berubah. Aku akan tidur pada jam 6 petang kurang lebih dan bangun pada jam 2 pagi pula sehinggalah sampai ke subuh dan terus bersiap-siap untuk ke hospital mengikut rutin kitar jadual pengajian di hospital.
Seminggu sebelumnya aku seolah-olah mendapat panggilan supaya segera terbang pulang ke Malaysia. Aku rindukan seseorang. Amat sangat rindu. Aku sendiri tak pasti kenapa sampai begitu sekali seruannya tapi hati aku sangat meronta-ronta supaya aku melengahkan tidak walau sedikit masa untuk pulang juga. Bagi aku adalah mustahil untuk pulang ke Malaysia pada tengah-tengah perjalanan semester. Namun hari demi hari panggilan ini semakin kuat.
Seperti orang mengantuk disorongkan bantal, begitulah aku ketika mendapat perkhabaran Azman, penuntut tahun ke-4 yang merupakan Timbalan Pengerusi Kelab UMNO Moscow tidak dapat menghadirkan diri pada Perhimpunan Agung UMNO 2007 kali ini di Kuala Lumpur. Aku lantas menyatakan kesanggupan untuk menggantikan diri walau jauh di lubuk hati, aku tidak mahu pulang. Itu namanya menempah nahas kerana setiap kelas yang tertinggal harus diganti. Andai satu-dua kelas tak mengapa tapi aku bakal meninggalkan keseluruhan satu kitar kelas selama seminggu kalau aku benar-benar jadi pulang.
Aku bertemu dengan pensyarah Infectious Disease ku di Infectious Disease Hospital No3 di hujung ceruk Moscow untuk berbincang tentang kehendakku. Kemudian aku ke penghujung ceruk Moscow yang lagi satu iaitu ke Oncology Center. Dari Oncology Center aku larikan diri ke kampus utama untuk berjumpa dengan Dr Ali, Pensyarah Hygiene and Public Health serta ke pejabat dekan untuk mempermudahkan hasrat ku ini. Alhamdulillah semuanya nampak mudah. Semuanya membenarkan aku untuk pulang ke Malaysia.
Sesudah selesai berbincang urusan pengajianku yang bakal aku tinggal dalam tempoh seminggu barulah aku pergi membeli tiket penerbangan. Dalam keadaan yang penuh terkejar-kejar aku tak sempat khabarkan berita ini dengan baik kepada rakan-rakan sekelas ku yang lain. Malah dijadikan cerita lagi , aku telah terlepas penerbangan yang sepatutnya aku naiki pada jam 820 malam. Mujur dengan bantuan Azad, seorang Bangladeshi yang menjalankan perniagaan penjualan tiket penerbangan di sini membantu aku untuk menaiki penerbangan yang seterusnya tanpa sebarang penalti dikenakan dan sempat menaiki connecting flight ke Malaysia di Bangkok.
Aku tahu jika aku menghadiri Perhimpunan Agung UMNO 2007 kali ini aku akan berpeluang untuk jumpa dengan idolaku dari dulu hingga selamanya. Lantas panggilan untuk pulang atas sebab kenapa tidak harus aku sia-siakan begitu sahaja kerana aku yakin selain menjadi perwakilan kelab PAU2007, ISBIHA pasti akan berada di sana juga. Maka dah tentu aku akan dapat berjumpa dengannya. Begitulah bisik hatiku. Sesudah melepasi pengawalan passport di lapangan terbang Shremetyevo II Moscow dan menanti untuk menaiki kapal terbang di boarding room,ketika itulah aku baru aku melakukan panggilan terus ke Ayah menerusi telefon bimbitku.
‘Ayah, Maaf kacau pagi-pagi ni. Am balik Malaysia untuk Perhimpunan Agung UMNO ni! Nanti sampai di Bangkok Am call lagi confirmkan bila sampai dan details itinerary flight.”
‘OK. Kami tunggu di sini.Jaga diri. Jalan baik-baik”
Begitulah ringkas jawapan ayahku ketika itu. Waktu di Malaysia ketika itu menunjukkan jam 315 pagi. Aku lantas tertidur tatkala sudah menaiki kapal terbang Aeroflot dengan arah penerbangan ke Bangkok untuk transit selama sejam lebih sebelum menaiki Malaysian Airlines ke KLIA. Perjalanan yang amat panjang dan sangat-sangat meletihkan sepanjang perjalanan pulang itu. Tiada apa yang lebih aku buat selain tidur dan bangun untuk makan ketika di kejutkan. Kadang-kadang aku belek naskah tafsir Alquran yang aku bawa bersama ke mana-mana.
Tahu-tahu saja aku sudah di KLIA. Satu perasaan yang sangat sukar untuk dipercayai. Aku masih teringat 24jam yang lalu aku masih bersesak nafas risaukan tiket penerbangan aku yang masih tak dapat-dapat walhal penerbangan tidak kurang 3jam lagi dengan beg masih tidak dikemas walau sedikit. Namun segala penat sesak nafas itu hilang tatkala aku melihat kedua ibu dan ayahku serta adik bongsuku sudah melambai-lambai dari luar tatkala melihatku.
Ayah mendakap aku. Ketika itu dakapan ayah adalah cukup hangat. Pelukannya adalah sangat luar biasa kali ini.
‘Awak tahu tak ibu awak ni terus sembuh bila dengar awak nak balik masa ayah call pukul 3 pagi tadi. Siap pegi Tesco dengan Jusco cari barang dapur nak masak untuk awak.’
Aku menjadi sangat sayu dan terharu. Pipi mereka kucium dan mereka ku dakap seolah selama ini aku tidak pernah walau sekali aku mendakap mereka. Kami tidak ke mana-mana selepas itu selain pulang terus ke rumah Seremban. Seronok ku rasa apabila melihat semula tempat di mana aku bermain-main, di besarkan. Cantik banyak dari saat aku tinggalkan dulu dengan sedikit ubahsuai yang dilakukan. Bang Wan diamanahkan oleh Ayah untuk membina taman landskap di luar rumah. Cantik betul hasil design dan kerja Bang Wan dengan kolam dan taman landskap yang telah terbina.
Di dalam rumah , aku sempat mengusik Ibu. Kebetulan masih lagi dalam suasana Hari Raya ketika itu.
‘Ibu dengar kata ada orang tu dapat duit raya dalam bentuk cabinet dapur baru?’
Lantas Ibuku tertawa besar mendegar usikan aku.
‘Alah ni Ayah awak nak bagi sikit kat Ibu. Dah pencen barulah dapat nak merasa…’
Aku sekadar tersenyum menumpang gembira.
Selepas selesai bersembang sebentar dengan semua ahli keluarga yang ada di rumah , aku lantas menelefoni Kak Farah, orang yang bertanggungjawab menguruskan kebajikan semua perwakilan Kelab UMNO Luar Negara dari seluruh dunia tentang kehadiranku. Aku telah diminta untuk terus lapor diri pada keesokkan hari di tingkat 7 Menara Dato’ Onn selepas check-in di Hotel Wira.
Alhamdulillah syukur aku ke hadrat Ilahi paling tidak aku dapat merasa satu malam di rumah sendiri. Esok pula pasti aku dapat turut serta ayahku pergi sekali ke PWTC kerana telah berapa tahun ayah di pilih sebagai salah seorang panel penulisan ucapan perwakilan dari negeri Johor untuk puteri , pemuda, wanita dan keseluruhannya. Aku ingat kata ayah yang YAB Menteri Besar Johor mahukan ucapan perwakilan daripada Johor menyampaikan amanat dan pesanan melalui fikiran berlandaskan penekanan pada kesan-kesan yang menyeluruh bukan semata-mata bercakap kosong dan berlandaskan pada perasaan. Maka sebab itulah diwujudkan panel yang terdiri daripada beberapa cendiakawan dan cerdik pandai dari pelbagai bidang untuk menyediakan teks ucapan perwakilan Johor pada setiap kali Perhimpunan Agung UMNO.
Jangkaanku meleset sama sekali. Ayah akan dijemput bersama rombongan dari Johor di rumah Seremban pada esok harinya walhal aku diminta untuk melaporkan diri lebih awal. Mujur ada Bang Lang yang pulang bersama Kak Zam dan Iman Amani ke Seremban menjenguk kami. Dapatlah aku ikut sama Bang Lang sekeluarga ke Kuala Lumpur dan memintanya untuk menghantarku ke Hotel Wira.
PERHIMPUNAN AGUNG UMNO 2007
Aku hadir untuk melapor diri. Terkejut sekejap aku apabila melihat jadual yang sungguh padat. Aku mula berfikir bila agaknya mungkin aku akan dapat pulang ke rumah sebentar dengan tentatif yang sepenuh ini. Tak apalah macam ni. Memang pulang ini pun sudah menjadi amanah sebagai perwakilan kelab UMNO, maka In sya Allah aku akan menjadikan kehadiranku ini benar-benar membawa manfaat dan segala suara yang aku fikirkan perlu di didengari akan aku suarakan.
Jadual yang di susun termasuklah perjumpaan bersama YB Dato’ Seri Mohd Radzi Sheikh Ahmad, Setiausaha Agung UMNO , Perjumpaan bersama YBhg Brig Jen (B) Dato’ Husainay Hashim Setiausaha Kerja UMNO, Perjumpaan bersama Datuk Ishak Abdul Rahman, Setiausaha Bahagian Pentadbiran & Kewangan. Selain itu kami dikehendaki untuk Majlis Perasmian Perhimpunan Agung Tahunan Pergerakan Wanita , Pemuda dan Puteri UMNO. Antara lain termasuklah juga Perjumpaan bersama MT UMNO. Majlis ringkas bersama YAB Perdana Menteri turut di selit bersama sepanjang perhimpunan itu selain perjumpaan dengan menteri-menteri lain seperti Dato’ Syed Hamid Albar , YAB Dato’ Ali Rustam dan ramai lagi.
Fikiran aku ligat sangat memikirkan macam mana kalau paling tidak satu malam pun cukuplah untuk aku berlari ke Seremban atau ke hotel yang ayah tinggal bersama panel penulisan teks ucapan Perwakilan UMNO Negeri Johor. Pada hari pertama aku mengikuti jadual seperti biasa. Aku juga ada menghubungi Ayah memaklumkan keadaanku semua. Alhamdulillah setakat itu semuanya masih berjalan dalam keadaan baik. Ayah nampaknya mula sibuk untuk memikirkan rangka penulisan yang perlu di karang. Aku pula mula berkenalan dengan perwakilan-perwakilan daripada negara lain seperti dari Rusia sendiri yang terdiri daripada Nizhniy Novgorad, Volgograd dan Kursk, UK, Ireland, USA, Jepun, Australia, Indonesia, Pakistan, Korea, New Zealand, Canada dan pelbagai negara lagi.
Oleh kerana kebanyakkan daripada kami merupakan penuntut, maka sesi khas yang di susun juga termasuklah Perjumpaan dengan Menteri Pengajian Tinggi YB Dato’ Mustapha Muhammad. Banyak persoalan telah di bangkit oleh penuntut dari pelbagai cabang ilmu daripada pelbagai negara. Aku tidak kurangnya. Namun apa yang lebih aku nantikan ialah mendengar pembahasan perwakilan Johor kerana aku yakin pembahas-pembahas daripada Johor selalu melontarkan idea yang sangat bernas dan sering menjadi perhatian di muka depan akhbar-akhbar utama tempatan. Tatkala berita seperti ini keluar, aku pasti menumpang bangga kerana aku tahu Ayah aku merupakan salah seorang yang memainkan peranan dalam kejayaan penyampaian tajuk perbahasan itu.
Aku berasa syukur kalau tidak semua,tapi kebanyakkan daripada suara yang disampaikan oleh Perwakilan MOSCOW sering mendapat perhatian dan diketengahkan. Tidak dinafikan juga pendapat-pendapat serta masalah yang sering dihadapi dari Kelab UMNO Luar Negara yang lain. Permintaan yang sangat tinggi terhadap penyedian tempat dan tugas untuk seorang ustaz atau pegawai yang berlatarbelakangkan agama menjadi perhatian Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan juga Menteri Luar Negara. Jesteru, pertemuan bersama dua menteri ini juga telah di atur dan dimasukkan ke dalam tentatif bersama Perwakilan Kelab yang lain. Aku tumpang bangga apabila Kelab UMNO Moscow juga telah ditauliah sebagai Kelab UMNO Luar Negara terbaik pada tahun ini.
Sungguhpun demikian, penglibatan Ayah dalam menyediakan teks ucapan lebih menjadi prioriti utamaku. Aku pasti akan menelefoninya untuk melepaskan rindu. Jika tidak cukup dengan aku membaca post-post di blognya. Aku ternanti-nanti apa agaknya yang akan dibentangkan oleh Perwakilan JOHOR nanti.
Ayah hadir bukanlah sebagai Pemerhati ataupun Perwakilan. Malah sepanjang hayatnya tidak pernah walau sekali menjadi ahli UMNO. Ayah dan beberapa orang lain yang dipilih oleh Badan Perhubungan Negeri JOHOR diamanah untuk membantu dan menyelaras perbahasan di perhimpunan ini di peringkat perwakilan PUTERI, PEMUDA, WANITA baik di peringkat Pencadang atau Pembahas Negeri. Dalam kesibukan orang ramai di PWTC yang mundar-mandir berniaga, ada yang sibuk dengar dengan prihatin setiap perbahasan, ada ketikanya perbahasan mencuit gelagat hati dan perasaan,ada juga ketikanya perbahasan menjadi suatu yang sangat hangat. Namun Ayah bersama rakan yang lain sibuk memerah otak mencari isi yang baik , kata yang cantik, mana segalanya padat dan menarik supaya penyampaian Perwakilan Johor selaras dengan kehendak YAB Menteri Besar JOHOR iaitu bukan sahaja menarik tetapi juga padat dengan isi dan penggunaan bahasa yang betul.
Kesibukan masing-masing ,Ayah dengan kerja belakang tadbir mengolah dan menyelaras teks Perwakilan JOHOR dan aku menghadiri setiap program dan tentatif yang telah di susun membataskan pertemuan kami di sini. Inilah yang orang kata dekat tapi jauh, jauh tapi dekat. Walaupun kami mungkin ada di PWTC , Ayah di Hotel Legend dan aku di Hotel Wira namun sukar sekali untuk kami bertemu. Hanya selepas tamat Perhimpunan pada November 7, jam 9 malam kami dapat bersua untuk sama-sama pulang ke Seremban bersama Bang Lang, Kak Zam dan Iman Amani. Aku pula dengan segala penat lelah perlu bersiap-siap pulang semula ke Moscow pada esok awal pagi.
BERSIAP PULANG KE MOSCOW
Setiba di Seremban aku terus mengemas barang-barang yang perlu di bawa semula ke Moscow. Tatkala aku sibuk mengemas Ayah ada terjumpa stethoscope yang aku turut bawa pulang bersama ke Malaysia. Oleh sebab aku bergegas pulang ke Malaysia tempoh hari dari kelas dan universiti, aku tidak sempat keluarkan segala barang yang terkandung dalam beg. Lantas Ayah mengambil stethoscope itu dan memakainya dan mengacukan pada dadanya. Mungkin Ayah cuba dengar sendiri apa agaknya bunyi jantung melalui stethoscope ini ataupun mungkin Ayah ingin tahu apakah perasaannya menjadi seorang doktor ini. Begitulah fikirku melihat gelagat Ayah dari jauh yang hanya berkain pelikat dan tshirt pagoda. Lantas aku mendekatinya dan cuba menerangkan serba sedikit tentang penggunaannya.
Malah aku turut ‘clerking’ ayah dengan lagakku seperti seorang doktor. Ayah hanya tersenyum dan menceritakan segalanya kepadaku. Ayah juga menunjukkan ubat-ubat yang diambilnya. Pada aku , ayah sudah datang dalam satu pakej yang lengkap. Baik dari sakit jantungnya hinggalah ke darah tinggi, baik dari kencing manis hinggalah ke gout nya. Semuanya ada belaka. Tatkala itu aku dah sungguh hiba kerana pada awal pagi esok aku akan meninggalkannya dan harus bergegas pulang ke Moscow semula meneruskan pengajian seperti sedia kala.
Pagi tu sesudah subuh, aku masukkan semua beg ke dalam kereta. Ayah melihat sahaja gelagat aku. Sekali dua mencelah , ‘ Pukul berapa awak nak gerak ni, nanti tertinggal pula lagi kapal terbang,” Ibu pula sibuk di dapur nak menyediakan pelbagai bahan makanan supaya aku dapat merasa segala macam rasa makanan yang disediakan. Memang pagi itu aku sungguh sayu, Ibu yang tidak tidur malam menyediakan pelbagai bentuk juadah. Aku pun hairan. Baik chocolate cake nya, baik rendangnya, baik kuah kacang dengan nasi impitnya, baik sandwichnya. Semuanya ada disediakan. Sebut sahaja apa yang tiada.
‘Ok ayah, dah siap dah semua,’ kataku pada Ayah apabila hendak bergerak ke KLIA.
‘OK!’
“Ayah tak dapat hantar awak ke airport pagi ni. Ayah terasa sakit lagi lah. Awak pegi ajelah dengan Bang Wan, Ibu dengan yang lain.”
Aku lantas menghulurkan tangan berjabat tangan dengan Ayah memohon restu untuk pulang semula ke Moscow. Ayah menarikku dan lantas memelukku dengan kemas. Aku hampir menitiskan air mata tatkala Ayah memelukku. Ayah jarang sekali peluk anak-anaknya. Aku tahu. Namun pelukan ini adalah sungguh berbeza. Ayah mendakapku penuh seperti susah mahu dilepaskannya. Ayah tak dapat iringi aku ke airport untuk pulang semula ke Moscow. Pesan Ayah ringkas , jaga diri. Pipiku di ciuminya. Hatiku tatkala itu sungguh sayu.
‘Ayah, Am pergi dulu ya,”
Barulah Ayah melepaskan pelukannya. Aku bertiga bersama Ibu dan Adam suami kepada Kak Long bergerak dahulu ke airport kerana yang lain masih belum siap untuk ke airport.
KEMBALI SEMULA KE MOSCOW
Sejak pulang semula ke Moscow, jadual tidurku sudah tak menentu. Aku akan tidur jam 7 malam sesudah solat maghrib pada jam4 petang kurang lebih dan bangun semula pada jam 1 atau 2 pagi sehinggalah aku bersiap-siap ke hospital menjalani rutin kitar jadual yang telah ditetapkan di universiti. Selain daripada jadual yang aku ikuti sekarang, aku juga harus mencari pensyarah Oncology di Oncological Center yang amat sangat besar bagi mengganti kelas yang tertinggal selama seminggu. Bagi aku ini tidak menjadi masalah In sya Allah. Mungkin aku bekerja lebih baik di bawah tekanan. Mungkin ya,mungkin tidak. Kadang-kadang tekanan menjadi bebanan yang tak tertahan.
Sekali orang pernah bertanya kenapa aku bersungguh mahu pulang ke Malaysia walhal aku adalah President IMAM RSC dan di Kelab UMNO peranan aku hanyalah ahli biasa. Aku sendiri pun tak pernah pasti apa jawapannya. Aku membalas ringkas nak mencari semangat baru. Aku merasa seolah andai aku tidak melepaskan peluang ini, aku pasti akan menyesali seumur hidupku. Aku tahu Ayah pasti akan berada di PWTC kali ini. Pasti banyak yang aku boleh pelajari darinya.
Namun apabila pulang semula ke Moscow, hati aku ini tidak pernah tenteram. Tidur tak pernah lena. Makan tak pernah kenyang. Aku merasakan seoalah-olah ada satu peristiwa yang meninggalkan sejarah mendalam akan berlaku pada diriku. Aku sendiri sentiasa menyoal diriku. Apakah itu? Sungguhpun demikian tidak ada satu pun yang mencurigakan. Kelas da kuliah aku hadiri seperti biasa seperti mana hari-hari sebelumnya. Aku menelefoni Ayah dan Ibu kadang-kala untuk menghilangkan resah. Cukup kadang berbual tidak sampai lima minit. Hati aku menjadi tenteram sekejap.
Kemudian mula aku menjadi resah gelisah semula. Apa yang aku gelisahkan pun aku tak pasti.
Ada juga kalanya aku menjadi sangat leka. Khayal dengan pentas dunia lakonan pura-pura dunia yang fana hinggakan aku sendiri hanyut di bawa arus hidup yang penuh khayalan. Sekejap berangan itu, sekejap berangan ini. Namun tidak pernah ada sebarang susulan dalam bentuk tindakan. Hingga bila sesekali aku tersedar , aku akan menangis di hati. Apakah yang sudah aku lakukan selama ini? Sukar sekali aku untuk tersedar melainkan apabila aku bercakap dengan keluarga tercinta. Ayah seringkali memberikan teguran dan nasihat dalam setiap tindak-tandukku. Begitu juga Ibu dan ahli keluarga yang lain. Aku bersyukur mempunyai Ayah Ibu dan ahli keluarga yang tidak putus menyedarkan aku bila aku terlena, menarik dan memaut tanganku bila aku hampir lemas di lautan yang memperdaya,mengigatkanku agar sentiasa pada landasan yang benar. Aku bersyukur.
Pada petang Jumaat itu,sesudah solat asar, aku pergi ke bilik kawan. Rasanya sudah lama sangat sejak pulang dari Malaysia tidak diluangkan masa bersama rakan-rakan. Aku rasa elok juga kalau hujung minggu ini diperuntukkan bersama rakan sekejap. Tiba-tiba telefonku yang jarang sekali berdering pun berbunyi. Jarang sekali aku mendapat panggilan telefon dari sesiapa di sini. Aku lantas menjawab segera tanpa melihat siapa yang memanggil.
‘Hello Dik Am…’
‘Eh,siapa ni?’ tanya aku kehairanan. Tak ramai yang memanggilku dengan panggilan ini melainkan keluargaku dan rakan-rakan taman perumahanku sahaja.
‘Bang Lang ni…’
Aku terdiam sebentar. Selama hampir 6 tahun mengaji dan menuntut di Moscow ini tak pernah walau sekali aku mendapat panggilan daripada Malaysia apatah lagi daripada Bang Lang. Kami bertiga Kak Ngah, Bang Lang dan Bang Wan biasanya akan berkomunikasi melalui Yahoo Messenger sahaja ataupun bila rasa rindu tak tertanggung aku sendiri sahaja yang membuat panggilan ke Malaysia kerana ia jauh lebih murah.
‘Ada apa Bang Lang?’ tanya aku.
‘Ayah dah tak ada…..’
‘Ha………….?’
‘Ayah dah meninggal’
‘Innalillahi wainnalillahi rojiun’
Aku menjadi sangat – sangat kelu. Lidah aku tak mampu nak berkata walau satu. Aku rasa mahuku jerit sahaja biar semua tahu rasanya di kalbu. Aku seolah tidak percaya. Baru sahaja Sanggar Hati aku lawati dan aku baca.
‘Orang pun tak tahu lagi cerita yang sebenar lagi. Bang Wan dan Ibu tengah on the way ke Johor Baharu nak ambil jenazah. Sepatutnya Ayah sampai ke Seremban dah jam 7 malam lagi tapi sampai pukul 10 masih tak sampai. Orang JB kata jumpa ayah dekat bilik tengah duduk bersila besandar dekat dinding dengan sangat bersih dan lembut. Nilah Ibu dengan Bang Wan tengah dalam perjalanan ni. Nanti orang call awak lagi ’ tambah Bang Lang lagi.
Aku sangat- sangat hiba. Aku seperti tak percaya. Kebetulan Puyi ada di depan ku ketika perbualan di telefon sedang berlaku.
‘Boh, bakponyo ni?’ tanya Puyi
‘Ayahku, Puyi…ayahku dah meninggal!’ aku bisik pada telinganya.
Aku kemudian terus berlari ke bilikku di tingkat bawah. Tak tertahan rasanya lagi sebak di hatiku apabila mendengar berita ini. Aku ke bilik dengan kusedari air mata telah berderai-derai membasahi pipi. Hatiku rasa seperti diragut. Jiwaku rasa bagai disentak. Luluh dan pedih seperti sembilu yang menyusuk dalam benak hati ini tatkala terngiang-ngiang berita yang Bang Lang sampaikan.
‘Ibu kata awak tak payah balik. Lagipun hari tu awak dah balik. Kalau balik sekalipun awak tak sempat nak jumpa pun…’ pesan Bang Lang sebelum menyudahkan perbualan.
Makin sebak aku dibuatnya apabila teringatkan kata-kata Bang Lang itu.
NAH! Mungkin inilah jawapan kepada segala keresahan. Ayah sudah pergi menyahut seruan Ilahi. Walau macam mana hebat sekalipun kasih sayang aku , kami sekeluarga kepada Ayah, seruan Allah adalah tetap seruan. Tiada siapa yang dapat menandingi kasih sayangNYA kepada sekalian hamba. Aku dengan perlahan cuba untuk menerima hakikat ini dan redha dengan ketentuan Ilahi.
Alhamdulillah aku di kelilingi sahabat yang terindah. Sejurus berita pemergian Ayah menyahut seruan Rabbulizzati tersebar di kalangan rakan, mereka semua mencariku di bilik dan datang menjengukku dan memberikan pelukan yang tidak dapat ku gambarkan betapa hangatnya rasa. Aku menjadi sungguh hiba dan sebak waktu itu. Pelukan mereka mengingatkanku akan pelukan terakhir yang Ayah berikan kepadaku. Aku berasa sungguh syahdu dan terharu sekali.
‘Idham lepas ni pukul 7 kita buat tahlil dekat bilik atas. Jangan sedih –sedih sangat!’
Aku hanya mampu mengangguk setuju dan air mata terus rebah membasahi pipi.
Aku hanya insan yang hanya mampu menangis. Aku mahu pulang tatkala itu juga tapi kenangkan pesanan Ibu aku batalkan segala hasrat. Aku kuatkan diri dan tabahkan hati. Aku lontarkan senyuman pada semua di sisi. Sebagai seorang anak hanya iringan doa yang aku mampu kirimkan bersama berdoa agar arwah Ayah selamat di dunia sana dan Ayah di tempatkan bersama golongan beriman di pelihara Allah selamanya. Saat bersama menjadi ingatan yang teristimewa yang mustahil aku dapat lupakan. Pesanan dan nasihat akan aku genggam menjadi azimat. Semoga arwah Ayah bahagia di dunia sana.
Am rindu Ayah sangat!
SI BERBAKAT ISBIHA
ISBIHA ialah nama pena Ayah. Ayah yang aku kenali adalah cukup istimewa orangnya. Aku boleh simpulkan Ayah sebagai Si Berbakat. Malah jika aku tidak keterlaluan aku boleh katakan Ayah seorang manusia yang cukup hebat kerana mempunyai multi-talent. Ayah pandai melukis. Lukisan Ayah tidak tertumpu pada satu genre. Malah Ayah mampu melukis portret,pemandangan,batik dan apa sahaja pada hemat aku. Medium yang digunakan pula tidak tertumpu pada sketching biasa namun pada pelbagai medium lukisan. Ayah mampu menggunakan cat, mampu menggunakan ball pen, pensil, warna air dan sebagainya.
Kadang yang menjadi hati ku tersentuh apabila wajah Ibu seringkali Ayah portraitkan dalam lukisannya. Tatkala itu aku sedar betapa kasih cinta dan sayang Ayah pada Ibu adalah tiada taranya. Malah bakat Ayah ini telah diwarisi sedikit sebanyak oleh kami semua anak beranak. Boleh kata kesemua kami anak-anak Ismail dan Siti mempunyai asas melukis semula jadi yang baik. Hinggakan Bang Wan sendiri yang membuat plan dan melukis taman landskap hadiah Ayah kepadanya sempena graduation Bang Wan sebagai arkitek landskap di UTM. Aku sendiri akui aku boleh melukis sedikit sebanyak tapi tidaklah sebaik Kak Long, Kak Ngah , Bang Lang, Bang Wan , Dek Ya serta Dek Izza. Mereka adalah cukup-cukup luar biasa.
Kekreatifan Ayah dalam lukisan memang tidak dapat dinafikan lagi. Ayah juga sering memenangi pertandingan melukis logo di peringkat kebangsaan dan juga antarabangsa. Pelbagai logo yang Ayah lukis di terima dan diguna pakai . Ini termasuk lah logo pendidikan UNESCO dan juga logo ZERO DEFECT Kementerian Pelajaran. Aku teringat ada sekeping keratan akhbar yang masih di simpan di rumah dengan gambar Tun Abd Razak bersama-sama Ayah ketika beliau sedang melawat galeri pameran lukisan Ayah. Ayah juga pernah menerima Anugerah Sastera Tun Abdul Razak menerusi puisi-puisinya yang di karang.
Malah apa yang pernah memeranjatkan ku ialah Ayah pernah juga mengarah pementasan teater dan pernah mengarah drama-drama patriotik di TV Pendidikan sekitar tahun 70-an. Selain aktif mengarah, Ayah turut berperanan dalam penyediaan skrip pementasan dan drama.Apa yang lebih menarik lagi ialah Ayah menjadi pelakonnya sekali.
Ayah sememangnya aktif dalam bidang penulisan. Arwah Ayah bukan sahaja menulis buku dalam pelbagai genre, malah Ayah juga turut pernah menulis novel, mengarang puisi dan juga cerpen. Pilihan-pilihan kata yang indah dan cantik sering digunakan Ayah dalam penulisannya. Namun aku malu sebagai anaknya, tidak pula bakat penulisan ini dapat ku warisi dengan baik. Maka tidak hairan juga bagiku Ayah dipilih sebagai salah seorang panel penulis teks ucapan perwakilan UMNO negeri Johor. Apa yang membuatkan aku bangga lagi ialah apabila Ayah dianugerahkan dengan pelbagai bentuk anugerah menghargai bakatnya itu. Ayah pernah menerima Anugerah Sastera Darul Ta’zim yang ke-3.
Ayah bukan jenis yang boleh duduk diam dengan duduk di rumah sahaja. Selepas sampai tempoh bersara wajib bersama kerajaan, Ayah telah berkhidmat dengan Institut Integriti Kepimpinan Latihan & Semangat Dato Onn dan Yayasan Warisan Johor secara kontrak. Sepanjang bersama IKLAS YWJ, Ayah telah memberi latihan pengurusan dan kepimpinan kepada setiap lapisan masyarakat di Johor.Dari Endau hinggalah ke Johor Baharu. Ayah juga masih sempat menulis beberapa buku dan kadang-kala menulis puisi. Antara puisi yang di karang oleh Ayah di dedikasikan kepada YAB Menteri Besar Johor ialah Kerusi Nombor Satu. Malah Ayah juga sempat menyiapkan buku berkenaan integriti dan di lancarkan oleh YAB Menteri Besar Johor pada Sabtu lepas hinggakan pada sehari sebelum Ayah menyahut seruan Ilahi , Ayah masih sempat mengemaskini blognya.
Aku juga sempat bekerjasama sebagai satu kumpulan dan bertindak sebagai smart partnership dengan Ayah. Aku sebagai Pengerusi Islamic Medical Association of Malaysia- Russia Student Chapter dan Ayah selaku Ketua Pentadbir IKLAS merangkap Timbalan Pengarah Yayasan Warisan Johor telah sama-sama bekerjasama menganjurkan SUNATHON 2007, satu program khatan beramai-ramai yang di jalankan di Endau, Johor di rasmikan oleh YB Timbalan Menteri Kesihatan. Apa yang aku kagumi tentang Ayah ialah sepanjang bekerja untuk melaksanakan Sunathon yang lalu, Ayah tidak menganggap aku sebagai anaknya sepanjang bekerjasama sebagai rakan kongsi tapi melayani aku dengan penuh profesional dan berhemah tanpa ada sebarang pilih kasih.
Segala pandangan yang aku lontarkan mewakili ahli persatuan akan Ayah halusi dan teliti dan dalam sudut ini Ayah menekankan konsep win-win situation. Namun penglibatan Ayah yang menyeluruh dalam memastikan kejayaan sunathon ini adalah cukup luar biasa. Ayah juga telah membantu ground work dan memastikan setiap satu perinci benda yang dirancang benar-benar terlaksan. Hinggakan aku terfikir ini bukan sudah win-win situation. Ini sudah menjadi satu pihak sahaja yang menang. Kesanggupan pihak IKLAS Yayasan Warisan Johor menaja dan bersedia menjadi rakan kongsi IMAM-RSC adalah amat aku syukuri. Mungkin tidak keterlaluan aku katakan tanpa Ayah mustahil Sunathon 2007 akan berjaya seperti musim panas lalu.
Ayah adalah insan yang cukup istimewa . Dia jarang bercakap. Mesejnya akan disampaikan melalui gaya bahasa badannya, tingkah lakunya, lukisannya,penulisannya dan sebagainya. Namun apabila Ayah bercakap, cakapnya bukanlah cakap-cakap kosong. Aku sudah pun mulai rindu kelibatnya. Sungguh aku rindu sangat pada Ayah.
Jadual mingguan Yayasan Warisan Johor pada setiap pagi Jumaat adalah Majlis Membudayakan Alquran. Kata Ibu menurut Pakcik Zul sahabat di Yayasan, Ayah tidak pernah tertinggal untuk menghadiri majlis tersebut. Namun pada pagi itu, Ayah menelefoninya bagi memberitahu yang Ayah tidak dapat hadirkan diri kerana berasa kurang sihat. Maka Ayah pun diminta berehat sahajalah pagi itu sebelum masuk ke pejabat untuk mula bekerja.
Jam 10 malam Ayah masih tidak sampai –sampai lagi ke Seremban. Sebagai seorang isteri aku dapat rasakan kerisauan yang di rasai oleh Ibu. Puas sudah menelefon Ayah namun tidak berjawab hingga Ibu terpaksa menghubungi rakan-rakannya di Johor. Sampailah rakan-rakannya mencari hingga masuk ke rumah dan menjumpai Ayah sedang duduk bersila bersandar di dinding di biliknya. Kata Pakcik Rahman , staf di IKLAS, wajah Ayah adalah cukup tenang. Kulitnya adalah cukup bersih dan lembut seperti baru sudah mandi. Ayah telah pergi ke Rahmatullah menyahut seruan Yang Esa.
Ketika aku menelefoni Ibu yang bersama dengan Bang Wan dalam perjalanan ke Johor Baharu,
‘Haah,Dek Am….Ayah dah tak ada..Ayah dah meninggal’ kata Ibu dengan penuh sebak dan teresak-esak
“YB Hj Ahmad Zahiri dengan Mufti Johor pun ada datang sahkan dah kematian Ayah….Ibu pun tak tahulah Dek Am.Ni baru lepas Ayer Keroh. Kejap lagi sampailah…”
“Kak Ngah awak baru sahaja naik flight ke New Zealand iringi Menteri,tak dapat nak sampai berita ni.”
Kata-kata Ibu itu membuatkan aku sungguh sebak dan hiba . Ibu tak terdaya nak meneruskan perbualan selain meminta aku sabar dan tenang sahaja selain melarangku untuk pulang ke Malaysia.
Ayah kau tiada dua.
Kau si berbakat idola semua.
Anak beranak isteri kau jua ISBIHA
Mendidik kami penuh rasa cinta
Mengajar kami erti hidup di dunia
Menyinari kami dengan ilmu kehidupan di sana
Kini kau pergi menyahut seruan Yang Esa
Meninggalkan kami dengan rindu yang bergelora
Sebak di jiwa tiada taranya
Mengenangkan kau ISBIHA yang kami cinta
Semoga roh kau bahagia aman sentosa
Bersama mu’minin anbiya’ dan para syuhada
Di Taman Syurga itulah doanya.
Ayah, Am rindu Ayah sangat!
Khairil Idham Ismail
1.lakaran tinta saudari Nisah Haji Haron
supersenior saya di SMKA SHAMS , yang juga merupakan penulis cerpen "Annyss Sophillea"
- teks wajib pelajar KOMSAS Tingkatan 4 mengenai Ayah ISBIHA
http://www.nisah.cjb.net
Jutaan terima kasih yang tak terhingga buat semua yang memberikan pelukan pada saat memerlukan, memberikan nasihat , semangat serta dorongan, mendengar apabila bercerita, mengirimkan doa dan salam, tahlil dan alfatihah baik dengan sms, telefon, email , flickr, friendster dan sebagainya. JZKK, syukran spasiba terima kasih yang amat sangat. Jasa baik kalian hanya Allah sahaja yang mampu membalasnya. Semoga kalian di bawah naungan payung ILAHI hendaknya.
TERIMA KASIH
|
|
|
|
|
View complete fotopage
|